Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut selepas mencatatkan kenaikan untuk ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sentimen dalam pasaran bertukar kepada lebih berhati-hati menjelang pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat berhubung keputusan mengenai kadar faedahnya lewat minggu ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1100/1140 berbanding dolar AS daripada 4.1080/1120 pada Isnin.

Seorang peniaga berkata, perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, ditetapkan diadakan di Washington pada 30 dan 31 Januari, telah memberi tekanan terhadap dolar AS berikutan pelabur sedang menunggu isyarat baharu daripada keputusan mesyuarat itu.

Delegasi 30 anggota daripada Beijing akan diketuai Naib Perdana Menteri China Liu He, manakala White House akan diwakili Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan Robert Lighthizer.

“Pelabur sedang menunggu lawatan Naib Perdana Menteri Liu He ke Washington. Buat masa ini, dolar AS adalah lemah tetapi ini memberi kelebihan kepada pengukuhan mata wang lain terutamanya yen Jepun.

“Melihat kepada prospek yang tidak menentu, selera mengambil risiko bagi mata wang negara yang sedang pesat membangun dijangka menurun sedikit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0397/0429 berbanding 3.0362/0396 pada Isnin dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.7548/7595 daripada 3.7547/7594.

Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.4108/4177 berbanding 5.4049/4118 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.7018/7068 daripada 4.6864/6914 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini