Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan mata wang AS itu menyusut susulan data ekonomi AS mencetuskan kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi terbesar dunia itu semakin perlahan.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1380/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1410/1460 semasa ditutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penurunan indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS dan panduan pendapatan daripada Apple menjadi tumpuan utama pasaran.

Indeks ISM AS untuk sektor perkilangan menyusut 5.2 mata kepada 54.5 pada Disember, menunjukkan operasi perkilangan semakin kurang optimistik, manakala terdapat penurunan mendadak Indeks Pesanan Baharu Disember sebanyak 11 mata kepada 51.1 mata.

“Ini menggambarkan aktiviti penghasilan dan permintaan dijangka lemah dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Apple menyemak turun panduan pendapatannya untuk suku pertama, menunjukkan permintaan daripada China semakin lemah, selari dengan prestasi ekonomi perlahan negara itu pada 2018

“Justeru, prestasi aset pasaran baharu muncul dijangka lebih mencabar. Melangkah ke hadapan, akan ada permintaan berterusan untuk mata wang selamat seperti dolar AS dan yen Jepun.

“Buat masa ini, dolar AS menyusut secara perlahan. Kami menjangkakan ringgit mengukuh dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Semasa dibuka, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8461/8509 daripada 3.8457/8514 pada Khamis dan lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0342/0382 daripada 3.0321/0369.

Ringgit menyusut berbanding pound kepada 5.2300/2367 daripada 5.2090/2173 dan merosot berbanding euro kepada 4.7202/7260 daripada 4.7104/7165.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini