Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan minat belian ketika pelabur sebaliknya menunggu data kadar pengangguran Malaysia bagi November lalu yang dijadual diumumkan esok.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0970/0020 berbanding dolar AS daripada paras 4.0940/0980 pada Jumaat lalu.

Ketua Perdagangan OANDA bagi rantau Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata selain data itu, prestasi ringgit turut dipengaruhi oleh pengumuman data dagangan China yang mencatat penyusutan ketara pada Disember 2018.

Laporan data perdagangan itu menunjukkan jumlah eksport berkurangan kepada AS$221.25 billon pada Disember – merosot 1.4 peratus daripada November dan 4.4 peratus bagi tempoh sama pada 2017 iaitu angka terbesar sejak Disember 2016 apabila China mencatat kadar pertumbuhan paling perlahan sejak 1990.

“'Secara keseluruhannya, ringgit terbukti bertahan dengan baik hari ini walaupun data perdagangan China itu lebih rendah daripada yang dijangkakan dan menyebabkan harga minyak dan mata wang komoditi turut lemah serta terus berlegar secara negatif akibat sentimen risiko," katanya kepada Bernama.

Setakat berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global merosot daripada AS$60.52 satu tong pada jam 10 pagi ini kepada AS$59.89 satu tong.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0238/0286 daripada 3.0297/0338 pada Jumaat lalu dan mengukuh berbanding euro kepada 5.2577/2653 daripada 5.2203/2270.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini