Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan kebanyakan mata wang Asia berikutan permintaan yang besar terhadap dolar AS, susulan peningkatan dalam hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.1160/1200 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin sebanyak 4.1120/1160.

Peniaga berkata, dolar AS yang meningkat juga disokong oleh petanda positif dalam rundingan perdagangan AS-China yang masih berterusan.

Bagaimanapun, pemulihan harga minyak yang datang daripada pemotongan bekalan daripada beberapa negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) membantu mengimbangi kerugian terhadap ringgit,” kata peniaga berkenaan kepada Bernama.

Penanda aras minyak mentah Brent menokok 0.98 peratus kepada AS$57.89 setong pada 4.27 pagi Waktu Standard Tengah.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang asing lain, kecuali yen Jepun.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7128/7190 daripada 4.7037/7099, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0287/0328 daripada 3.0284/0334 dan susut berbanding pound British kepada 5.2537/2608 berbanding 5.2424/2491 pada Isnin.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7803/7843 daripada 3.8004/8044 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini