Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, susulan kelemahan mata wang negara maju itu ketika peningkatan berpotensi bagi minat risiko, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1080/1120 berbanding dolar AS daripada 4.1225/1275 Jumaat minggu lalu.

Peniaga berkata, dolar AS kekal mengalami tekanan, berikutan kebimbangan masih berlanjutan walaupun kerajaan AS menarik balik perintah penutupan operasinya yang bertempoh hanya 21 hari.

Beliau berkata, ia turut dipengaruhi oleh rundingan perdagangan AS-China akan datang selain keputusan dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS berkaitan kenaikan kadar faedah.

“Peniaga bimbang menunggu laporan berkaitan rundingan AS-China pada Selasa dan Rabu ini untuk melihat sama ada dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu boleh mencapai persefahaman mengenai perdagangan atau sebaliknya.

“Ini, ditambah dengan keputusan dasar Fed AS, yang dijangka lebih memberi petanda mengekalkan pusingan mengetatkan kadar faedah mereka, akan memberi beberapa petunjuk kepada pasaran,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0362/0396 daripada 3.0346/0685 pada Jumaat minggu lalu, selain rendah berbanding euro kepada 4.6864/6914 daripada 4.6704/6769.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7547/7594 daripada 3.7542/7598 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.4049/4118 daripada 5.3935/4004 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini