Tidak mudah kawal selia aset digital - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Tidak mudah kawal selia aset digital



KUALA LUMPUR 16 Jan. - Mata wang digital dan token digital seperti bitcoin atau mata wang kripto tidak mudah untuk dikawal selia kerana tidak ada asas yang terlibat dalam urus niaga kedua-dua produk berkenaan.

Pakar ekonomi, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, ini kerana aset digital berke­naan hanya bersandarkan kepada keyakinan.

“Semua orang bercakap tentang bagaimana teknologi blockchain memberikan anda begitu banyak ketelusan. Ketelusan untuk apa?

“Semuanya tentang keyakinan. Jika anda yakin dengannya, harga akan naik. Sebaik sahaja anda berasa sangsi, harga akan turun. Tidak ada asas yang terlibat dan anda kena fikir tentang sifat dan ciri produk ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Antarabangsa Bank Dunia di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Seku­riti Malaysia (SC) mengumumkan akan melaksanakan garis panduan untuk mengawal selia penawaran dan perdagangan aset digital.

Menurut SC, ia susulan kenyataan Menteri Kewang­an, Lim Guan Eng mengenai Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pene­tapan Sekuriti) (Mata Wang Digi­tal dan Token Digital) 2019 yang mula berkuat kuasa hari ini.

SC berkata, ia bagi mewujudkan kriteria untuk menentukan kesesuaian dan kesesuaian penerbit dan pengendali pertukaran, piawaian pendedahan dan amalan terbaik dalam pe­nemuan harga, peraturan per­dagangan dan perlindungan aset pelanggan.

“Bagi melaksanakan rangka kerja pengawalseliaan terhadap aset digital, SC dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan pengaturan penyelarasan untuk memastikan pematuhan dengan undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasa kedua-dua pengawal selia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi World Bank Group, Richard Record berkata, langkah BNM dan SC melaksanakan garis panduan untuk mengawal selia penawaran dan perdagangan aset digital merupakan satu pendekatan yang betul dan berhati-hati bagi memastikan pengguna dilindungi.

Beliau berkata, ini kerana gangguan teknologi telah membawa banyak peluang bagi negara-negara membangun tetapi ia juga boleh mendatangkan risiko terutamanya dalam pasaran kewangan.

“Sebarang bentuk gangguan teknologi hari ini membawa banyak peluang untuk negara-negara membangun termasuk Malaysia tetapi ia juga berisiko. Jadi penting untuk mempunyai peraturan pengawalseliaan,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini