Ringgit catat aliran meningkat terpanjang sejak 2010 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat aliran meningkat terpanjang sejak 2010



KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh berikutan penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) dan pasaran menunggu hasil daripada perbincangan perdagangan antara China dan AS.

Ringgit menokok 0.2 peratus kepada RM4.0620 berbanding dolar AS hari ini, sekali gus mencatat peningkatan sembilan hari berturut-turut.

Keadaan itu menunjukkan mata wang tempatan berkenaan berada di landasan untuk merekodkan aliran meningkat paling lama sejak 2010.

Mata wang Asia turut menjejaki keuntungan dari yuan dengan People's Bank of China (PBOC) menetapkan kadar rujukan mata wang itu pada yuan 6.7495 berbanding dolar AS selepas musim cuti Tahun Baru Cina, lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis pada yuan 6.7522.

Ahli Strategi Pasaran Baharu Muncul di TD Securities, Mitul Kotecha ketika yang dipetik Bloomberg, berkata penepatan kadar yuan itu sekali gus memberi petunjuk kepada pasaran.

“Data perdagangan China juga akan menjadi pendorong utama pada minggu ini, dengan pasaran dijangka lebih berhati-hati memandangkan laporan itu akan menunjukkan kemerosotan,” katanya.

Sementara itu, hasil bon kerajaan 10 tahun meningkat satu mata asas kepada 4.01 peratus.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan sasar untuk melengkapkan jualan bon Samurai menjelang akhir Mac dengan modal yang diperoleh akan ditukar kepada ringgit.

Kajian Bloomberg menjelang pengumuman data rasmi, menunjukkan pengeluaran industri meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun pada Disember berbanding kenaikan 2.5 peratus pada November.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini