Ringgit dijangka kukuh minggu depan



KUALA LUMPUR: Momentum pengukuhan ringgit dijangka berterusan minggu depan, mencecah paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila minat mengambil risiko meningkat sedikit walaupun dolar AS menyusut serta pemulihan harga komoditi.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit dan mata wang ekonomi pesat berkembang dijangka mengambil kesempatan daripada dolar AS yang lemah, yang kini berada dalam tekanan selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedahnya.

Beliau berkata, sikap memihak kepada kadar faedah rendah yang tidak dijangka oleh Pengerusi Fed, Jerome H Powell pada Rabu, yang kemungkinan menandakan berakhirnya kenaikan kadar faedah, mencetuskan rali di bursa saham serantau.

“Ini adalah perubahan yang dramatik kerana kami menjangkakan kenaikan, namun Fed mengekalkannya. Ini sememangnya kejutan positif. Saya jangkakan ringgit akan terus mengukuh,” katanya dengan mengunjurkan ringgit akan bergerak antara 4.00 dan 4.05 minggu depan.

Nazri Khan berkata, ketegangan politik terhadap Brexit yang semakin reda selain keyakinan bahawa penyelesaian perang perdagangan AS-China akan dicapai, akan memberi sokongan kepada sentimen minggu depan.

Delegasi 30 pegawai dari Beijing, yang diketuai Naib Perdana Menteri China, Liu He, tiba di Washington pada Rabu untuk rundingan dua hari.

White House diwakili Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan Robert Lighthizer.

Pegawai kedua-dua negara dilaporkan memulakan perbincangan yang baik semasa sesi pembukaan.

Dalam minggu dagangan yang pendek, ringgit ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga minggu pada 4.0930/0980 berbanding dolar AS pada Khamis berbanding 4.1225/1275 yang dicatatkan pada Jumaat lalu, berikutan permintaan yang lebih baik ke atas nota tempatan selain data perdagangan yang meningkat.

Jumlah dagangan Malaysia pada 2018 kekal kukuh, berkembang 5.9 peratus kepada RM1.876 trilion daripada RM1.771 trilion pada 2017, disebabkan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk tahun yang ditinjau.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0409/0450 pada Khamis daripada 3.0346/0385 Jumaat lalu, turun berbanding yen Jepun kepada 3.7699/7749 daripada 3.7542/7598, dan lemah berbanding euro kepada 4.7000/0070 daripada 4.6704/6769.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3688/3758 daripada 5.3935/4004 sebelum ini kerana sentimen pasaran dipengaruhi perkembangan Brexit.

Pasaran Malaysia ditutup pada Jumaat sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini