Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS semasa ditutup



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi hari ini berikutan mata wang tempatan mendapat rangsangan daripada kenaikan harga minyak dan perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China minggu depan, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditambat pada 4.0715/0765 berbanding dolar AS daripada 4.0900/0970 semasa ditutup pada Isnin.

Peniaga berkata, berikutan pasaran tempatan ditutup bersempena cuti Tahun Baharu Cina, pelabur kembali dengan keyakinan baharu terhadap pasaran tukaran mata wang asing, dengan kenaikan harga minyak mendorong pengukuhan ringgit.

Setakat 6 petang, penanda aras minyak mentah Brent adalah pada US$62.69 setong.

"Di samping harga minyak, pelabur juga memberi tumpuan pada perbincangan perdagangan antara AS dan China pada minggu depan berhubung cadangan AS mengenakan tarif tambahan ke atas barangan China.

"Pelabur yakin bahawa cadangan untuk mengenakan tarif tambahan itu tidak akan dilaksanakan kerana White House menyasarkan untuk mencapai perjanjian bagi menghindarinya," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dan pegawai AS yang lain akan ke Beijing minggu depan untuk menyambung perbincangan perdagangan.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0017/0058 berbanding 3.0227/0290 pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7004/7059 daripada 3.7216/7290 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.2547/2619 berbanding 5.3424/3531 dan didagangkan lebih tinggi berbanding euro pada 4.6191/6252 daripada 4.6814/6902. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini