Lebihan akaun semasa sokong ringgit


KUALA LUMPUR: Lebihan akaun semasa negara dijangka terus menyokong ringgit, dengan mata wang tempatan itu diunjurkan berada pada paras RM4.06 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) pertengahan tahun ini, demikian kata UOB Malaysia.

Ahli Ekonomi Kanannya, Julia Goh, berkata ringgit diunjurkan berada pada paras RM4.11 berbanding satu dolar AS menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, dengan jangkaan tidak ada lagi sebarang kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dalam kitaran kali ini, keadaan itu akan memberi ruang yang lebih fleksibel kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melonggarkan dasar monetarinya bagi menyokong pertumbuhan.

Katanya, dengan jangkaan risiko penurunan yang tinggi terhadap pertumbuhan, pihaknya menjangkakan bank pusat akan mengurangkan kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 25 mata asas paling awal Mei ini.

“Akaun semasa Malaysia dijangka mencatatkan lebihan RM28 bilion atau 1.5-2.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) tahun ini, yang mana menyokong ringgit.

“Potensi pengurangan kadar faedah oleh BNM mungkin tidak sangat menjejaskan ringgit memandangkan Fed AS kekal bertahan tahun ini dan bank pusat serantau lain mungkin berhenti sebentar atau melonggarkan dasar monetari sebagai maklum balas terhadap tinjauan pertumbuhan yang lemah,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass pula mengunjurkan ringgit kekal kukuh sekitar paras RM4.06-RM4.10 berbanding dolar AS akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini bagi menyokong pertumbuhan.

Katanya, dengan kekurangan tekanan inflasi domestik dan Fed AS kini menghentikan sementara kenaikan kadar faedahnya, ia membuka pintu seluasnya kepada BNM untuk mengurangkan kadar faedah tempatan pada separuh kedua tahun ini.

“Dengan data makro utama yang mencadangkan keadaan ekonomi beralih kepada kelemahan, dan lebih penting lagi petunjuk masa depan, ia menyokong pandangan kami pengurangan 25 mata asas pada separuh kedua 2019 sebagai langkah menyokong pertumbuhan,” katanya.

BNM mengunjurkan ekonomi negara berkembang 4.3 peratus hingga 4.8 peratus bagi 2019, yang mana lebih rendah berbanding 4.9 peratus yang diunjurkan Kementerian Kewangan.

Cabaran utama kepada pertumbuhan termasuk sektor luaran berikutan tinjauan global lemah dan potensi gangguan bekalan berkaitan komoditi.

Keadaan pertumbuhan global menyederhana, ketegangan perdagangan AS dan China yang belum selesai dan sentimen perniagaan yang lemah berpotensi menjejaskan aktiviti domestik.

Kadar inflasi dijangka kekal rendah sekitar 0.7 peratus hingga 1.7 peratus bagi tahun ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini