Ringgit dijangka catat pergerakan kecil minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mencatat pergerakan lebih kecil pada minggu depan iaitu berada di bawah paras RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Strategi Mata Wang Global FXTM, Jameel Ahmad, berkata secara teknikalnya, paras tersebut adalah tahap yang mana purata pergerakan 200 hari dan 50 hari itu mulai menumpu.

“Paras sokongan 4.0615 itu dijangka bertahan ketika dolar AS sebaliknya meningkat beberapa kali pada bulan lepas,” katanya.

Jameel berkata, bagi minggu akan datang, data Indeks Pengeluaran Industri Malaysia (IPI) bagi Januari akan diumumkan dan berkemungkinan memberi sedikit sokongan terhadap mata wang tempatan tersebut jika angka itu adalah positif.

“IPI itu adalah melebihi unjuran pasaran bagi setiap bulan dalam suku keempat 2018 dan menggambarkan asas-asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.

“Malah ini juga jelas dibuktikan menerusi angka eksport yang memberangsangkan sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Jameel bagaimanapun berkata momentum ringgit masih dipengaruhi oleh prestasi dolar US serta faktor lain di peringkat global.

Beliau berkata, selagi Amerika Syarikat dan China masih belum memuktamadkan perjanjian perdagangan yang konklusif, pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara itu akan terus memberi kesan kepada sentimen risiko global.

Selain itu katanya, pertumbuhan global yang lebih perlahan serta faktor Brexit juga terus menjejaskan sentimen itu manakala niaga hadapan minyak mentah Brent yang juga penanda aras dunia juga kelihatan sukar untuk melepasi tahap tertingginya setakat tahun ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah berikutan kejatuhan harga minyak mentah global susulan unjuran Bank Pusat Eropah yang lebih rendah dan sebaliknya memberi sokongan terhadap mata wang dolar AS.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar US iaitu pada 4.0890/0930 daripada 4.0720/0770 pada minggu sebelum ini.

Ia juga menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6798/6847 daripada 3.6383/6438 namun mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0064/0104 daripada 3.0105/0146 pada Jumaat lepas.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.5842/6895 daripada 4.6258/6319 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3509/3577 daripada 5.3921/3000.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini