Ringgit dijangka kekal lemah minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka kekal lemah minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal lemah, dalam dagangan berhati-hati, minggu depan, berlegar sekitar RM4.1197 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur akan menunggu Indeks Harga Pengguna (CPI) Februari dikeluarkan pada 22 Mac yang kemungkinan besar akan memberi tekanan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“CPI Februari mungkin akan turun dianggarkan 0.7 peratus, menjadikannya bulan kedua berturut-turut mencatatkan deflasi,” katanya kepada Bernama.

Inflasi Malaysia, diukur oleh CPI turun kepada 0.7 peratus pada Januari 2019, kali pertama pada November 2009 apabila CPI jatuh 0.1 peratus.

Selain itu, katanya pelabur juga sedang menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan, dijadualkan minggu depan dari 19 hingga 20 Mac bagi hala tuju baharu kadar faedah AS.

Sementara itu, Lukman Otunuga, penganalisis penyelidikan di FXTM, menjangkakan ringgit akan menyaksikan rintangan pada paras RM4.100 dan sokongan pada paras RM4.0615.

“Walaupun ringgit susut satu peratus, tahun ke tarikh ini, meningkat berbanding dolar AS, kemungkinan dolar AS akan menjadi semakin lemah adalah agak mustahil pada masa depan, dengan asas ekonomi AS dilihat berdaya tahan dalam keadaan pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan.

“Sekiranya indeks CPI Februari bertukar positif, itu mungkin akan menyingkirkan “masalah” daripada deflasi Januari dan mengurangkan kebimbangan yang menyelubungi tekanan terhadap harga domestik, membolehkan BNM untuk mengekalkan kadar OPR sepanjang 2019,” katanya.

Bagaimanapun, risiko bagi prestasi ringgit terus menyusut kekal dapat dibendung oleh keyakinan pasaran global dengan penangguhan risiko global seperti perdagangan AS-China, Brexit dan pertumbuhan global lebih perlahan.

Sepanjang minggu ini, urus niaga ringgit kekal pada paras antara 4.078 dan 4.095 berbanding dolar AS dengan belian disokong oleh pengeluaran perindustrian yang lebih baik daripada jangkaan pada Januari dan niaga hadapan Brent yang melepasi paras AS$68 setong.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS berikutan sentimen lemah berterusan didorong oleh petunjuk luaran kurang memberangsangkan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit kekal pada paras 4.0890/0940 daripada 4.0890/0930 bebranding dolar AS.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0197/0245 daripada 3.0064/0104 Jumaat lalu, turun berbanding euro kepada 4.6287/6360 daripada 4.5842/6895 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4220/4307 daripada 5.3509/3577.

Ringgit, bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6623/6671 daripada 3.6798/684.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini