Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kurang petunjuk positif.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada paras 4.890/0940 berbanding dolar AS daripada 4.0865/0905 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks pengeluaran perindustrian Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus pada Januari, iaitu lebih tinggi daripada 2.3 peratus dianggarkan sebelum ini, gagal menyemarakkan keterujaan dalam kalangan pelabur berikutan data luaran terus mendominasi sentimen.

"Petunjuk kekerapan tinggi terbaru dari China tidak selaras dengan pengeluaran perindustrian dan jualan runcit yang rendah bagi tempoh Januari-Februari masing-masing kepada 5.3 peratus dan 8.2 peratus daripada 6.2 peratus dan 9.0 peratus pada Disember 2018.

"Di samping itu, tarikh Brexit mungkin ditangguhkan kerana tidak mendapat undi mencukupi untuk menyokong cadangan itu.

"Secara ringkasnya, tidak ada pemangkin kukuh bagi ringgit pada saat ini,'’ katanya.

Pada amnya, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0162/3201 daripada 3.0134/0168 pada Rabu, turun berbanding euro kepada 4.6259/6320 daripada 4.6153/6219 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4200/4274 daripada 5.3668/3729 pada Rabu.

Ringgit, bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6594/6648 daripada 3.6706/6752 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini