Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, selari prestasi mata wang pasaran pesat membangun di Asia.

Dolar AS menyusut menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang bermula esok, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0760/0800 berbanding dolar daripada 4.0890/0940 pada penutupan Jumaat.

Seorang peniaga berkata data ekonomi Amerika Syarikat yang lemah seperti yang disiarkan pada Jumaat, mencetuskan jangkaan bahawa mesyuarat FOMC akan memihak kepada pendirian kadar faedah rendah.

Angka yang disiarkan pada Jumaat menunjukkan keluaran pengilangan AS susut 0.4 peratus pada Februari, penyusutan bulan kedua berturut-turut, manakala aktiviti pengilangan di New York lebih rendah berbanding jangkaan, dengan bacaan indeks pada 3.7, mencecah paras terendah dalam tempoh hampir dua bulan.

Sementara itu, penganalisis penyelidikan FXTM Lukman Otunuga berkata pengukuhan ringgit walaupun harga minyak mentah merosot buat hari ketiga berturut-turut, menunjukkan kelemahan dolar.

“Penyusutan dolar menunjukkan bahawa pasaran mengambil kira kadar faedah AS yang tidak berubah, ekoran Fed sudah memberi bayangan mengenai penurunan kadar faedah pada akhir Januari.

“Ekoran ketiadaaan pemangkin yang lain dalam sentimen risiko selanjutnya, ringgit jika mungkin sudah memperoleh sokongan lain pada Jumaat jika data inflasi domestik bagi Februari menunjukkan kenaikan harga pengguna, yang mungkin menghilangan kerisauan mengenai deflasi pada Januari,” katanya kepada Bernama.

Ringgit juga didagangkan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6556/6602 daripada 3.6623/6671 dan tinggi berbanding euro kepada 4.6263/6312 daripada 4.6287/6360 Jumaat lalu.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.4015/4084 daripada 5.4220/4307 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0152/0184 daripada 3.0197/0245 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini