KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, didorong kebimbangan pasaran terhadap rancangan tarif baharu yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump, babitkan tiga rakan dagang utama negara itu.
Pada hujung minggu lalu, Trump mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan dari Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico serta 35 peratus terhadap produk dari Kanada, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Susulan itu, ringgit mencatat pengukuhan apabila dibuka pada paras 4.2405/2635 berbanding dolar AS, berbanding 4.2475/2525 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah AS menggunakan tarif sebagai alat dasar bagi mendapatkan kelebihan perdagangan menimbulkan kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur.
"Ternyata, dasar tarif ini dijadikan strategi oleh AS untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi global.
"Keadaan ini meningkatkan risiko pertumbuhan global yang perlahan dan tekanan inflasi lebih tinggi di AS, sekali gus menyulitkan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai penurunan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan kekal didagangkan dalam jajaran kecil antara RM4.24 dan RM4.25 dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan global yang masih berlarutan.
Pada sesi pembukaan, ringgit turut mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dunia.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8792/8950 daripada 2.8893/8929 pada Jumaat lalu, naik berbanding pound Britain kepada 5.7234/7544 daripada 5.7524/7592, dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9546/9815 daripada 4.9679/9737.
Ringgit juga mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3119/3303 daripada 3.3186/3228, bertambah berbanding rupiah Indonesia kepada 261.4/263.0 daripada 261.8/262.3 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.55 daripada 7.52/7.53.
Namun, ringgit merosot sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.0916/1711 daripada 13.0668/0886 pada Jumaat lalu.