Ringgit akan terus dipantau kerajaan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau prestasi ringgit dalam pasaran mata wang asing berikutan penyusutan nilai unit tempatan itu baru-baru ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Malah, jelas beliau, prestasi ringgit juga sewajarnya dinilai berasaskan unjuran tahunan berbanding harian berikutan turun naik ringgit dalam pasaran harian yang menjadi sesuatu yang biasa berlaku.

"Turun naik ringgit itu adalah perkara biasa. Oleh itu, kita perlu melihat prestasi ringgit bagi tempoh melebihi setahun.

"Jika kita buat (penilaian) berasaskan unjuran harian, ini sebenarnya kurang tepat. Biarlah kita melihat unjuran itu pada akhir tahun," katanya dalam temu bual dengan beberapa media tempatan, termasuk Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini dan sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan campur tangan dari segi dasar bagi mengekang penyusutan nilai mata wang tempatan itu.

Perkembangan ringgit itu dikaitkan dengan tindakan penyedia indeks global FTSE Russell pada minggu lalu untuk menilai semula Malaysia dari segi akses pasaran dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) berikutan kebimbangan membabitkan kecairan pasaran.

Susulan itu, ringgit terjejas apabila pelabur bimbang mengenai kemungkinan Malaysia tidak lagi layak disenaraikan dalam indeks berkenaan.

Malaysia yang dimasukkan ke dalam senarai WGBI sejak 2004, kini diletakkan pada kedudukan '2' dan dipertimbang untuk diturunkan ke tahap '1' yang akan menjadikan negara ini tidak lagi layak untuk disenaraikan dalam indeks terbabit.

Sementara itu, Maybank Kim Eng berkata, ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak 2.0 peratus pada April yang menjadi reaksi terhadap laporan kemungkinan tindakan FTSE Russell menggugurkan Malaysia daripada WGBI menjelang September ini.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan kadar pengukuhan semula ringgit berbanding dolar AS akan menyederhana dan berkemungkinan mencecah paras bawah 4.12 berikutan penilaian FTSE yang masih dijalankan.

Bagaimanapun, sebarang perkembangan negatif ringgit dalam masa terdekat ini berkemungkinan dapat dikekang oleh faktor seperti persekitaran luaran, sokongan harga minyak mentah Brent serta prestasi harga minyak sawit.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini