Prestasi bon AS jejas permintaan terhadap ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Prestasi bon AS jejas permintaan terhadap ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini selepas diasak tekanan akibat peningkatan pulangan bon AS yang menjejaskan permintaan terhadap unit tempatan itu.

Pada 9.06 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.1270/1300 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1300 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata, pelabur lebih memilih dolar AS berikutan kenaikan 20 mata asas bagi hasil Perbendaharaan AS 10 tahun sejak empat minggu lalu.

"Malah, kelemahan harga minyak global turut menjejaskan sentimen pasaran terhadap ringgit kerana ini turut memberi impak ke atas hasil minyak dan gas negara," katanya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent dan AS West Texas Intermediate (WTI) pula masing-masing susut 0.4 peratus kepada AS$74.24 setong dan AS$66.02 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0406/0446 daripada 3.0400/0446 pada penutupan semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6881/6911 daripada 3.6876/6924.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3395/3450 daripada 5.3666/3748 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6293/6330 daripada 4.6431/6491.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini