Ringgit catat paras terendah dalam dua bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat paras terendah dalam dua bulan



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot sehingga 0.32 peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan sentimen berhati-hati di seluruh Asia apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan dunia.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1050/1100 berbanding dolar US daripada 4.0920/0960 pada penutupan semalam.

Ini prestasi paling lemah bagi unit tempatan sejak 30 Januari 2019, apabila ditutup pada 4.1050/1100 berbanding dolar.

Walaupun semakan menurun pertumbuhan ekonomi dunia, Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran Global FXTM, Jameel Ahmad, berkata IMF menyemak naik pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 0.1 mata peratus pada 2019, berbanding unjuran Oktober.

"Ekonomi Malaysia dijangkakan tumbuh 4.7 peratus tahun ini, yang mengulangi prestasi 2018, angka yang lebih tinggi berbanding unjuran pertumbuhan global sebanyak 3.3 peratus bagi 2019.

"Ini membuktikan daya tahan asas ekonomi domestik Malaysia dalam berhadapan kelembapan secara meluas dalam ekonomi dunia,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel hari ini.

Jameel berkata, FXTM menjangkakan ringgit terus disokong, walaupun ia berhadapan pengukuhan mata wang Asia berbanding dolar.

Semalam, IMF menurunkan pertumbuhan KDNK dunia 2019 kepada 3.3 peratus berbanding unjuran awal 3.5 peratus pada Januari tahun ini.

Secara keseluruhannya, ringgit didadangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ia rendah berbanding pound British kepada 5.3673/3755 daripada 5.3556/3625 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6939/6987 daripada 3.6772/6818 semalam.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.6292/6361 berbanding 4.6125/6191 pada penutupan Selasa dan juga lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0347/0393 daripada 3.0246/0280 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini