Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR 15 April - Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat pelabur terhadap mata wang tempatan meningkat selepas kerajaan mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung semula ketika sentimen lemah terhadap ringgit.

Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1080/1110 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1170 ketika ditutup pada Jumaat.

“Penggiat pasaran khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pembinaan memberi reaksi positif terhadap laporan mengenai ECRL.

“Limpahan daripada projek mega ini amat positif untuk pertumbuhan dan akan merangsang sentimen pelabur asing terhadap ekonomi negara,” kata peniaga kepada Bernama.

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah iaitu RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company akan menubuhkan syarikat usaha sama 50:50 untuk mengurus, mengendalikan dan menyelenggara rangkaian rel ECRL.

Beliau berkata, keputusan tersebut akan mengurangkan beban kewangan negara yang sebelum ini terpaksa menampung keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek tertangguh itu dijangka bermula Mei ini jika kesemuanya berjalan mengikut perancangan.

Sementara itu, dolar AS susut daripada aliran peningkatannya sebelum ini berikutan perkembangan terkini rundingan perdagangan antara AS dan China yang menyaksikan Beijing tidak melemahkan tuntutannya bagi perjanjian perdagangan itu.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steve Mnuchin berkata, urus niaga perdagangan itu perlu melangkaui perjanjian terdahulu antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia tersebut dan kedua-dua pihak telah menghampiri pusingan akhir untuk mengakhiri perang perdagangan dan tarif selama sembilan bulan.

Secara keseluruhan ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6698/6728 daripada 3.6744/6798 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6470/6520 daripada 4.6519/6596.

Unit tempatan bagaimanapun menyusut berbanding dolar AS kepada 3.0378/0405 daripada 3.0367/0406 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3815/3866 daripada 5.3760/3842.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini