Ringgit dibuka lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lemah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit hari ini berikutan sentimen pasaran lemah berhubung kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) dikurangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada 9 pagi, ringgit disebut pada harga 4.1350/1400 berbanding 4.1320/1370 penutup Rabu berikutan pasaran ditutup Khamis bersempena cuti Hari Pekerja.

Kenanga Research dalam nota hari ini berkata, pertumbuhan pinjaman mengekalkan aliran menurun pada Mac, mencatatkan paras terendah dalam tempoh 10 bulan iaitu pada 4.9 peratus tahun ke tahun, berbanding 5.0 peratus pada Februari.

"Kami percaya BNM kini mempunyai kelonggaran lebih besar untuk mengurangkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas, mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang pada 7 Mei,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata kemerosotan pertumbuhan pinjaman terutamanya didorong oleh kelembapan pinjaman yang diperuntukkan untuk pembinaan, modal kerja dan penggunaan peribadi manakala pinjaman untuk barangan pengguna tahan lama dan kereta penumpang terus merosot.

"Ini menunjukkan sentimen berhati-hati yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0389/0430 daripada 3.0362/0410 penutupan Selasa dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3991/4060 daripada 5.3662/3744.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding yen kepada 3.7075/7123 daripada 3.7118/7170 tetapi merosot berbanding euro kepada 4.6333/6397 daripada 4.6311/6384. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini