Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan tarif terhadap eksport China bernilai AS$200 bilion pada Jumaat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit tidak berubah pada paras 4.1470/1500 iaitu sama semasa ditutup pada Selasa.

Laporan berita menunjukkan kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun menyusut berikutan muncul kebimbangan baharu terhadap perang perdagangan AS-China dan pertumbuhan global.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peniaga sedang melihat terhadap kemungkinan kesan teruk daripada kenaikan tarif oleh AS terhadap pasaran eksport tempatan.

“Perlu ambil perhatian bahawa eksport Malaysia merosot 0.5 peratus pada Mac daripada setahun sebelumnya. Kami berpendapat jika perang perdagangan memuncak, keadaan itu akan mempengaruhi dan memberi kesan besar ke atas ringgit, berikutan jumlah tinggi eksport yang bertumpu ke China,” katanya.

Tarif lebih tinggi dijadual berkuat kuasa pada Jumaat, ketika itu Naib Perdana Menteri China, Liu He akan berada di Washington bagi cubaan terakhir untuk memuktamadkan perjanjian pada Khamis.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Phillip Capital Management (Pelaburan), Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata penurunan harga minyak akan memberi lebih tekanan terhadap prestasi ringgit dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mengulas penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 3.0 peratus daripada 3.25 peratus (penurunan 25 mata asas) semalam, yang menurutnya akan menyaksikan hasil memberangsangkan dalam waktu terdekat.

"Ini seiring dengan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia yang akan meningkatkan kewangan korporat,” katanya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain.

Ia turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0452/0479 daripada 3.0446/0472 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 3.7700/7738 daripada 3.7506/7540.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4027/4075 daripada 5.4288/4340, tetapi tidak berubah berbanding euro pada 4.6455/6501 daripada 4.6455/6505.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini