Ringgit mengukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh 0.13 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selari kebanyakan mata wang Asia lain pada Rabu.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1720/1750 daripada 4.1800/1830 berbanding dolar pada Selasa.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan, berkata aset berisiko meningkat susulan prospeks yang muncul ekoran jangkaan pertemuaan antara Donald Trump dan Xi Jin Ping, yang dapat membantu menyokong sentimen mengambil risiko menjelang Sidang Kemuncak G20 minggu depan.

"Bagaimanapun, satu lagi pemangkin utama peningkatan prestasi ringgit ini ialah pengumuman dasar Rizab Persekutuan dan unjuran ekonomi AS, awal esok," katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Bank pusat AS dijangkakan tidak menyelaraskan penetapan dasar monetarinya selepas mesyuarat semasa, dengan 23 peratus pasaran menjangkakan kadar faedah AS akan diturunkan minggu ini.

Tan berkata, dolar AS dijangka merosot lagi, membolehkan ringgit kembali ke tahap 4.16-4.17, sekiranya Rizab Persekutuan mengumumkan kadar faedah AS yang lebih rendah pada Khamis.

"Pelabur sudah pasti akan meneliti nada Rizab Persekutuan apabila mengumumkan pendirian dasarnya, dengan penilaian yang memihak kepada kadar faedah rendah oleh pengerusi Fed, Jerome Powell, dapat menampan daya tahan dolar dan mendorong penyusutan mata wang Asia, termasuk ringgit," katanya.

Pada penutupan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang susut kepada 5.2459/2505 daripada 5.2355/2409 berbanding pound semalam, dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0508/0535 daripada 3.0471/0497 sebelum ini.

Ringgit mengukuh kepada 3.8476/8515 berbanding yen daripada 3.8596/8635 semalam dan berbanding euro, mata wang tempatan diniagakan pada 4.6731/6781 daripada 4.6745/6795.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini