Ringgit menokok - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menokok



KUALA LUMPUR: Ringgit menokok 0.35 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sejajar prestasi rakan serantau selepas Rizab Persekutuan AS memutuskan untuk mengekalkan kadar faedahnya semalam.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1575/1605 berbanding dolar AS daripada 4.1720/1750 penutup Rabu.

Dalam pada itu, Ambank menerusi laporan ekonomi yang dikeluarkan hari ini berkata, walaupun pihak Rizab Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung kadar faedah itu, namun ia masih terbuka kepada kemungkinan mengurangkan kadar itu pada akhir tahun ini.

"PihakRizab Persekutuan berkemungkinan akan bertindak menurunkan kadar tersebut seawal Julai ini, didorong tiga faktor utama iaitu inflasi, pertumbuhan dan dan prospek ekonomi," katanya.

Semalam, Rizab Persekutuan dalam mesyuarat dasar selama dua hari, mengumumkan untuk mengekalkan kadar faedah itu pada sekitar 2.25 peratus dan 2.5 peratus, namun membayangkan kesediaan mengurangkan kadar tersebut sekiranya aspek ketidaktentuan serta prospek ekonomi terus suram.

Sementara itu, peniaga berkata ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China itu sebaliknya hanya meningkatkan sentimen pelabur dengan beberapa syarikat multinasional menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluarannya.

"Ini ternyata merangsang pengukuhan ringgit pada masa ini. Malah, didorong dasar ekonomi dan insentif bagi menarik pelaburan langsung, ringgit dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengukuh berbanding dolar AS dalam dagangan minggu ini," katanya kepada BERNAMA.

Laporan sebelum ini menyatakan kesediaan Apple Inc yang juga gergasi teknologi AS memindahkan kapasiti pengeluarannya ke Asia Tenggara yang menjadi sebahagian daripada usaha penyusunan semula rantaian bekalan sedia ada syarikat itu.

Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut kepada 5.2705/2747 daripada 5.2459/2505 berbanding pound Britain semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0543/0576 daripada 3.0508/0535.

Ia turut rendah berbanding yen pada paras 3.8621/8659 daripada 3.8476/8515 manakala berbanding euro, ringgit susut kepada 4.6797/6847 daripada 4.6731/6781.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini