Ringgit kekal kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan arah aliran menaik Jumaat untuk dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah nada positif daripada mesyuarat G-20, kata Stephen Innes, rakan pengurusan di Vesuard Markets.

Pada 9.22 pagi, ringgit berada pada 4.1255/1300 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 pada Jumaat.

Mata wang tempatan dibuka pada 4.1260/1290 pagi ini.

Innes berkata, ringgit bersama-sama mata wang ASEAN lain didagangkan lebih tinggi selaras kelegaan susulan perkembangan terkini perang perdagangan itu.

"Penjualan dolar AS berbanding ringgit dijangka bertambah, terutamanya dengan pasaran yang menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan mengambil langkah monetari yang agresif,"

Beliau menyatakan bahawa mata wang Asean kekal sebagai benefisiari yang besar daripada perkembangan terkini perang perdagangan dan pelonggaran dasar Rizab Persekutuan itu.

"Jika Rizab Persekutuan menyusuli dengan penurunan sebanyak 50 mata asas pada Julai dan, dengan andaian perang perdagangan tidak meningkat, (ringgit) boleh didagang ke arah 4.08 ketika mana sentimen untuk mengambil risiko akan meningkat, dan pelabur akan mengejar pulangan. Ringgit akan mendapat faedah daripada perkara-perkara itu," katanya.

Ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama pada pembukaan.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0497/0524 daripada 3.0520/0568 Jumaat dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8112/8147 daripada 3.8354/8412.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.2351/2405 daripada 5.2352/2419 dan menokok berbanding euro kepada 4.6838/6889 daripada 4.7012/7085.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini