Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah dan menguji paras rintangan 4.17 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan kegagalan rundingan dagangan AS dan China yang menyebabkan pelabur terus mengelak pelaburan berisiko.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan bagaimanapun berkata ringgit berkemungkinan mencecah paras 4.13 sekiranya pelabur minat mengambil risiko dan menyaksikan pemulihan pada minggu akan datang.

Menurutnya, tindakan Presiden Donald Trump pada Khamis lepas yang mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas barangan China hanya memburukkan sentimen pada awal minggu depan.

“Tanda-tanda kemungkinan China melaksanakan langkah-langkah tindak balas dalam masa terdekat ini juga akan hanya menjejaskan sentimen pasaran dan melemahkan permintaan terhadap aset berisiko, termasuk ringgit ketika ketegangan Washington-Beijing itu terus ketara,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Tan berkata prestasi ringgit juga boleh dipengaruhi oleh data ekonomi AS dan China, termasuk data gaji bukan pertanian Washington bagi Julai yang dikeluarkan pada 2 Ogos serta Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) China serta angka perdagangan luar negara minggu depan.

“Sekiranya pelabur global terus dipaparkan dengan lebih banyak isyarat bahawa pertumbuhan global kian susut, ini akan turut menjejaskan selera mereka untuk mengambil risiko,” katanya.

Di peringkat domestik, Tan berkata angka pengeluaran perindustrian Malaysia pada Jun yang susut sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, tidak memberi kesan besar kepada prestasi unit tempatan pada minggu depan.

“Ini kerana faktor luaran terus memberi kesan terhadap mata wang Asia,” katanya.

Bagi minggu ini yang menyaksikan dagangan singkat berikutan cuti umum, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS berikutan semua pihak memberi tumpuan terhadap keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah, rundingan dagangan AS-China di Shanghai serta pergerakan harga minyak mentah.

Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan 10 peratus kepada baki import China bernilai AS$300 bilion berkuat kuasa 1 September 2019 selepas dua gergasi ekonomi itu menamatkan dagangan tanpa mencapai persetujuan yang jelas.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Bagi perbandingan Jumaat-Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.1550/1600 daripada 4.1180/1210 pada Jumaat lalu.

Ringgit turut didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0168/0215 daripada 3.0091/0118 pada Jumaat, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8864/8922 daripada 3.7905/7936 dan turun berbanding euro kepada 4.6104/6176 daripada 4.5879/5920.

Berbanding pound Britain, ringgit sebaliknya mengukuh kepada 5.0379/0457 daripada 5.1211/1265 sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini