Ringgit susut ke paras terendah sejak 2017, RM4.2065 sedolar



KUALA LUMPUR: Ringgit susut melepasi paras RM4.20 berbanding dolar AS, iaitu 4.2065 terendah sejak 9 November 2017 berikutan isu perang dagang AS-China semakin memuncak.

Perbalahan berterusan antara AS dan China, dengan masing-masing mengugut mengenakan tarif tambahan, telah menggusarkan pelabur global sekali gus menyaksikan mata wang negara ekonomi baru muncul yang bergantung kepada eksport, seperti Malaysia, menjadi lemah. Turut terjejas adalah harga minyak mentah dan pasaran saham utama Asia.

Ketika penulisan ini dibuat, ringgit didagangkan pada 4.2065 berbanding dolar AS. Penurunan 2.25 peratus dalam tempoh sebulan.

Pada hari ini dilaporkan, penganalisis umum berpendapat, nilai mata wang tempatan menjejaki penurunan yuan China, yang mana situasi itu mengatasi faktor positif yang sepatutnya menyokong melonjakkan nilai mata wang tempatan.

Yuan mencecah paras terendah 11 tahun dan jatuh ke rekod rendah dalam dagangan luar pesisir susulan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang kembali meruncing. Yuan jatuh kepada 7.1500 berbanding dolar AS, paras paling rendah sejak Februari 2008.

Turut terjejas adalah minyak mentah, yang mana menyaksikan Brent turun 63 cent, atau 1.1 peratus, pada AS$58.71 satu tong, yang mana ia terdahulu mencecah AS$58.24, paras terendah sejak 15 Ogos.

Sementara itu, emas mencecah paras tertinggi sejak April 2013, pada AS$1,554.56 satu auns.

Kelmarin China menyatakan ia menentang keras keputusan Washington mengenakan tarif tambahan ke atas barangan bernilai AS$550 bilion serta memberi amaran mengenai akibatnya, jika tidak menamatkan ‘tindakan yang salah’ itu.

Kenyataan daripada Kementerian Perdagangan China dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada Jumaat bahawa Washington akan mengenakan duti tambahan lima peratus ke atas barangan China, beberapa jam selepas Beijing mengumumkan pengenaan tarif balas terakhirnya terhadap barangan bernilai AS$75 bilion ke atas produk AS, sebagai tindakan terkini dalam perang perdagangan dua hala.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini