Ringgit susut, lepasi paras RM4.15 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut, lepasi paras RM4.15



Ringgit bermula pada Ogos merosot, melepasi paras 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama sejak Jun lalu.

Pada 6 petang, unit tempatan susut 110 mata asas untuk ditutup kepada 4.1550/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1440/1470 semasa ditutup pada Khamis.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit rendah disebabkan dolar AS yang kukuh, didorong oleh panduan dasar Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, susulan penurunan kadar faedah AS yang pertama sebanyak 25 mata asas sejak 2008.

"Sentimen risiko tidak menarik selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam lebih banyak tarif ke atas barangan China yang boleh memberi kesan kepada perdagangan global," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam menghadapi cabaran luaran sedemikian, Tan berpendapat bacaan yang kurang menggalakkan mengenai jumlah perdagangan luar Malaysia pada Jun memberikan kurang sokongan kepada ringgit.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan hari ini, eksport Malaysia susut 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion pada Jun 2019, dengan import merosot 9.2 peratus kepada RM65.91 bilion, menjadikan jumlah perdagangan sebanyak RM142.1 bilion, susut enam peratus berbanding Jun 2018.

Pada penutup, ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0168/0215 daripada 3.0134/0167 pada Khamis dan susut berbanding yen kepada 3.8864/8922 daripada 3.7984/8021.

Berbanding pound, unit tempatan berkurangan kepada 5.0379/0457 daripada 5.0126/0179 dan turun berbanding euro kepada 4.6104/6176 daripada 4.5741/5779 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini