Ringgit teruskan penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan penurunan



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring kebanyakan mata wang negara Asia pesat membangun, berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin buruk.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1770/1800 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.1550/1600 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes berkata susulan hubung kait yang ketara sebelum ini dengan renminbi, ringgit turut susut sejajar dengan penurunan mata wang China disebabkan peningkatan perang perdagangan.

“Memandangkan persekitaran risiko global semakin buruk, peniaga mata wang akan mengekalkan pegangan renminbi yang lemah sekali gus menyebabkan unit tempatan lemah.

“Keadaan itu hanya akan bertambah baik sekiranya People’s Bank of China (PBoC) campur tangan,” katanya kepada Bernama.

Khamis lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif tambahan ke atas barangan China yang berkuat kuasa 1 Sept dan ia telah memberi petunjuk negatif kepada pasaran seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata susulan ketidaktentuan yang berlaku di dalam pasaran China, renminbi telah melepasi paras tujuh bagi setiap dolar AS buat kali pertama sejak 2008, selepas PBoC menetapkan titik tengah pada 6.9225.

Ia kali pertama sejak Mei 2008 bagi mata wang China diniagakan melepasi paras psikologi penting iaitu tujuh.

“Kaedah mata wang mungkin amat berkesan memandangkan ia dapat mengimbangi kesan tarif AS secara ketara.

“Sekiranya mata wang China susut sebanyak 8.0 peratus lagi daripada paras semasa, tarif 10 peratus yang dibayar oleh pengimport AS akan diimbangi oleh kelemahan renminbi,” katanya.

Semasa penutup pasaran hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0231/0264 daripada 3.0168/0215 pada Jumaat lalulepas dan lemah berbanding yen kepada 3.9343/9389 daripada 3.8864/8922.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.0684/0741 daripada 5.0379/0457 dan merosot berbanding euro kepada 4.6561/6611 daripada 4.6104/6176.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini