Harga minyak susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak susut


SINGAPURA: Harga minyak susut untuk hari kedua susulan kebimbangan berkaitan permintaan bahan api yang rendah selepas ulasan Presiden Donald Trump yang memadamkan keyakinan berhubung kejayaan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, selain kebimbangan pertumbuhan ekonomi global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 46 sen kepada AS$62.64 satu tong pada 0104 GMT, sementara West Texas Intermediate susut kepada AS$56.89, turun 40 sen.

Kedua-dua harga itu jatuh ke tahap terendah sejak sebelum serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada 14 September.

"Apa yang benar-benar menarik ialah ulasan Donald Trump berhubung perdagangan malam tadi .... Beliau masih mengekalkan kedudukan yang mahu berkelahi," kata Jeffrey Halley, penganalisis pasaran kanan untuk Asia Pasifik di OANDA.

Trump mengkritik amalan perdagangan China di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Selasa dan berkata beliau tidak akan menerima "perjanjian yang tidak baik" dalam rundingan perdagangan AS-China.

China adalah pengimport minyak terbesar di dunia dan pengguna minyak mentah kedua terbesar, manakala AS adalah pengguna terbesarnya.

Trump juga berkata, beliau melihat jalan menuju kedamaian dengan Iran walaupun mengecam Iran kerana "dahagakan pertumpahan darah", yang mana ini melegakan premium geopolitik dalam harga minyak.

Harga minyak melonjak minggu lalu berikutan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi yang mengganggu bekalan pengeksport utama dunia itu.

Bagi memenuhi obligasi bekalannya ke kilang penapis di luar negara, Saudi Aramco membeli minyak daripada pengeluar Asia Barat lain.

Inventori minyak mentah AS menokok 1.4 juta tong minggu lalu, kata Institut Petroleum Amerika (API) berbanding penyusutan 200,000 tong yang diramal penganalisis.

Data rasmi Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS akan dikeluarkan hari ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini