Jenis-jenis carta - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Jenis-jenis carta


Ada 3 jenis carta yang utama di MetaTrader. Anda boleh menukar jenis carta dengan mengklik ikon-ikon di toolbar "Charts".

Mari kita lihat bagaimana jenis-jenis carta ini berbeza antara satu sama lain.

Carta garisan

Ini adalah yang paling ringkas di antara semua jenis carta. Ia dibina dengan menyambungkan harga-harga penutupan bagi setiap tempoh, sebagai contoh, harga penutupan harian untuk carta garisan harian atau penutupan mingguan bagi carta mingguan.

Oleh kerana carta garisan menggunakan hanya harga penutupan, ini bermakna ia menghapuskan banyak hingar pasaran (ie. gerakan-gerakan tidak penting di pasaran) dan membolehkan seseorang pedagang itu fokus lebih kepada perubahan penting pada harga. Carta jenis ini mungkin lebih mudah untuk difahami oleh para pedagang yang baru bermula. Carta garisan membolehkan para pedagang untuk mengenal pasti aras-aras sokongan dan rintangan yang penting, trend serta pola-pola carta tertentu.

Masalahnya, mungkin sang pedagang mahukan lebih banyak maklumat tentang harga dari apa yang boleh diberikan oleh carta garisan. Adakalanya perlu untuk diketahui bukan sahaja harga penutupan, tetapi juga harga pembukaan, harga tertinggi, dan harga terendah. Satu lagi kekurangan carta garisan adalah betapa ia tidak menunjukkan senggang (gaps). Ada beberapa jenis carta (bar dan candlestick) yang akan membantu anda dalam kes sebegini.




Carta bar

Carta bar menunjukkan julat harga bagi suatu tempoh masa tertentu. Bar adalah satu garisan vertikal yang menyambungkan harga tertinggi dan terendah bagi suatu tempoh masa. Garisan horizontal menandakan harga pembukaan (kiri) untuk tempoh perdagangan tertentu dan harga penutupan (kanan). Di carta mingguan, setiap bar mewakili tempoh 1 minggu. Di carta H1, setiap bar menunjukkan skop aksi harga bagi tempoh 1 jam.

Warna yang berbeza boleh digunakan untuk mengenal pasti bar yang ditutup pada harga yang lebih tinggi dari harga pembukaannya (bar menaik atau bullish) atau bar yang ditutup pada harga lebih rendah dari harga pembukaannya (bar menurun atau bearish). Dalam contoh di bawah, bar-bar bullish berwarna hijau dan bar bearish berwarna merah.

Dengan melihat pada carta bar, pedagang boleh membentuk satu tanggapan tentang apa yang berlaku kepada harga bagi suatu tempoh masa dengan agak pantas. Ini sangat memudahkan analisis pasaran.




Carta candlestick

Carta candlestick memberikan para pedagang maklumat yang sama seperti carta bar, tetapi tubuh candlestick diberikan dimensi dan diisi dengan warna (biasanya candlestick berwarna hijau/putih jika harga meningkat bagi tempoh masa yang diwakilinya atau merah/hitam jika harga jatuh). Carta jenis ini berasal dari Jepun. Ia dikatakan dicipta pada kurun ke-18 oleh seorang pedagang beras bernama Munehisa Homma.

Garisan yang mengunjur ke atas dan ke bawah dari tubuh candlestick dipanggil sumbu atau bayang. Hujung sumbu atas menandakan harga tertinggi yang dicapai dalam tempoh masa tersebut, manakala hujung bagi sumbuh bawah menunjukkan aras harga terendah dalam tempoh yang sama. Jika suatu candlestick mempunyai sumbu yang panjang berbanding saiz tubuhnya, ia petanda bahawa wujud kebarangkalian berlaku penyongsangan di pasaran. Para pedagang berpengalaman boleh mendapatkan banyak maklumat tentang psikologi pasaran dari carta candlestick.

Kebanyakan pedagang bersetuju bahawa candlestick menawarkan visual yang lebih mudah dihadam berbanding carta bar, namun masih ada lagi mereka yang lebih menggemari bar berbanding candlestick.



Jadi jenis carta yang manakah yang terbaik? Jawapan kepada persoalan ini terserah kepada setiap pedagang itu sendiri. Tepuk dada, tanya selera. Ia juga bergantung kepada matlamat yang anda mahu capai dan cara anda menganalisis pasaran. Carta garisan mungkin perkakas yang baik untuk mengenal pasti trend dengan cepat. Dalam masa yang sama, candlestick memberi visual yang lebih informatif dan secara amnya ia juga yang paling popular di kalangan pedagang matawang. Anda akan pelajari banyak lagi tentang carta candlestick di dalam artikel-artikel yang akan datang.



Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini