Ringgit ditutup rendah bagi hari ketiga berturut-turut



KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan penurunan bagi hari ketiga berturut-turut hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kurangnya minat pengambilan risiko meskipun berita bahawa China merancang membeli lebih banyak produk ladang daripada AS.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1880/1920 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1800/1830 pada Selasa.

Pakar Strategi Pasaran Axi Trader Asia-Pacific, Stephen Innes, berkata walaupun usaha muhibbah dari China itu, peniaga pertukaran asing kekal membeli dolar AS berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan kebuntuan rundingan perdagangan AS-China seterusnya yang akan diadakan di Washington awal bulan depan.

"Sememangnya, kebuntuan dalam rundingan perdagangan akan menjejaskan yuan China dan mata wang tempatan seperti ringgit Malaysia,” katanya.

Innes berkata, kekurangan kelonggaran monetari China terus memberi kesan kepada pertumbuhan serantau dan sentimen dalam pasaran ekuiti, menjadikan peniaga kurang berminat membeli yuan China atau mata wang Asia lain.

Gabenor People's Bank of China (PBOC), Yi Gang dilaporkan berkata negara itu tidak tergesa-gesa untuk mengambil langkah yang sama seperti bank pusat lain, seperti memperkenalkan dasar kelonggaran kuantitatif yang drastik atau menurunkan kadar faedah.

Keseluruhannya, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0401/0434 daripada 3.0360/0386 pada Selasa dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.9013/9061 daripada 3.8794/8832.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.6060/6108 daripada 4.5967/6017 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.2090/2157 daripada 5.2054/2095.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini