Ringgit merosot


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan ketidaktentuan global yang berterusan terutamanya berhubung peningkatan ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing, serta penurunan harga minyak global.

Pada 9 pagi, nota tempatan didagangkan pada 4.1830/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1830 penutupan semalam.

Peniaga berkata, sentimen pasaran global kekal mendatar disebabkan pertelingkahan perdagangan yang berpanjangan antara kedua-dua kuasa ekonomi itu yang memberi kesan kepada pasaran di seluruh dunia, terutamanya ekonomi yang sedang pesat membangun.

"Persengketaan perdagangan yang berlarutan dipantau oleh semua pelabur kerana ia menyebabkan gangguan global dalam rantaian bekalan serta peningkatan kos dalam pelbagai sektor. Tanpa tanda-tanda positif gencatan senjata, pasaran akan terus kekal di dalam keadaan tidak menentu," katanya.

Setakat 9.30 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada AS$61.53 satu tong berbanding AS$63.29 satu tong semalam.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia lemah berbanding euro kepada 4.6042/6088 daripada 4.5967/6017 semalam, susut berbanding pound Britain kepada 5.2200/2241 daripada 5.2054/2095.

Ringgit juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0395/0422 daripada 3.0360/0386 dan susut berbanding yen kepada 3.9064/9103 daripada 3.8794/8832 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini