Ringgit teruskan aliran menaik berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum menaiknya untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang semakin reda, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1630/1660 berbanding dolar US daripada 4.1640/1680 semalam.

Peniaga berkata pasaran pertukaran asing global telah bertindak balas positif kepada dua perkembangan kritikal, iaitu langkah-langkah rangsangan yang diperkenalkan oleh Bank Pusat Eropah dan langkah AS-China yang semakin hampir untuk menamatkan perang perdagangan.

“Ini memberikan harapan untuk pertumbuhan global yang lebih baik dan meningkat minat untuk mengambil risiko terhadap mata wang lain,” katanya kepada bernama, dengan menyatakan tumpuan kini terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan minggu depan.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0345 daripada 3.0275/0308 ketika ditutup pada Selasa, susut berbanding pound British kepada 5.1829/1883 daripada 5.1355/1421 dan merosot berbanding euro kepada 4.6205/6255 daripada 4.5925/5973.

Mata wang tempatan, bagaimanapun meningkat berbanding yen kepada 3.8550/8581 daripada 3.8602/8650.

Yen berada di bawah tekanan apabila pelabur melihat kepada mata wang berisiko tinggi berikutan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin reda. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini