Titik Pivot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Titik Pivot



Kita semua pernah menghadapi masalah ini, di mana ianya sukar untuk kita takrifkan aras sasaran harga. Kebiasaannya, pilihan aras sokongan dan rintangan melibatkan banyak kesubjektifan. Kerana itulah ramai pedagang menggunakan indiaktor untuk menentukan aras sasaran yang lebih universal. Salah satu cara paling mudah adalah dengan menggunakan Titik Pivot.

Apakah itu Titik Pivot?

Titik pivot adalah aras sokongan dan rintangan, yang boleh mentakrifkan potensi peluang dagangan. Dahulu ia dikira oleh para pedagang profesional di lantai dagangan (ahli-ahli di bursa yang melaksanakan transaksi dari lantai bursa, khusus untuk akaun mereka sendiri) untuk menentukan aras-aras kunci. Para pedagang ini dahulu mampu beradaptasi dengan pantas terhadap perubahan jangka pendek di pasaran.

Pada permulaan sesi perdagangan, mereka melihat pada harga tertinggi, terendah, dan penutup bagi hari sebelumnya untuk mengira titik pivot bagi hari perdagangan semasa. Selepas itu, sokongan 1, sokongan 2, rintangan 1, dan rintangan 2 dikira satu demi satu. Aras-aras ini digunakan untuk perdagangan secara harian. Ini  dikenali sebagai Sistem 5 Titik tradisional.

Terdapat beberapa cara untuk mengira titik pivot.

Mari kita mulakan dengan yang klasik.

Titik Pivot (PP) utama adalah pivot tengah.  Pivot tengah ini adalah garisan sokongan/rintangan yang paling utama. Ini bererti harga dijangka berayun di sekitar aras ini pada kebanyakan masanya. Ini digunakan sebagai asas untuk semua aras pivot yang lain. Titik pivot ini dikira seperti berikut:

Titik Pivot (PP) = (Harga Tertinggi + Harga Terendah + Harga Tutup) / 3

Peraturan di sebalik pengiraan ini adalah mudah; kita ambil harga tertinggi, terendah dan penutup hari semalam dan kita bahagikan dengan 3.

Sokongan 1 (S1) = (PP x 2) - Harga Tinggi Sebelum;

Sokongan 2 (S2) = PP - (Harga Tinggi Sebelum - Harga Rendah Sebelum);

Rintangan 1 (R1) = (PP x 2) - Harga Rendah Sebelum;

Rintangan 2 (R2) = PP + (Harga Tinggi Sebelum - Harga Rendah Sebelum);

Adakalanya harga pembukaan juga digunakan di dalam formula di atas. Dalam hal ini, persamaannya adalah:

Titik Pivot (PP) = ((Harga Buka Hari Ini) + (Harga Tinggi + Harga Rendah + Harga Tutup) Semalam) / 4

Aras-aras sokongan dan rintangan dikira dengan cara yang sama seperti di Sistem 5 Titik.

Sistem 5 Titik klasik bukanlah satu-satunya cara mengira Titik Pivot.

Mari kita lihat jenis-jenis yang lain:

Woodie Pivot Point. Sesetengah pedagang menggunakan Pivot yang berasaskan kepada formula Woodie. Ia dikira dengan sangat berbeza sekali:
R2 = PP + Tinggi – Rendah

R1 = (2 X PP) – Rendah

PP = (Tinggi + Rendah + 2*Tutup) / 4

S1 = (2 X PP) – Tinggi

S2 = PP – Tinggi + Rendah

Ia lebih digemari oleh sesetengah pedagang kerana ia memberikan lebih pemberat kepada harga penutupan tempoh sebelumnya.

Camarilla Pivot Point. Aras-aras ini serupa dengan Woodie, namun ia dikira untuk 8 aras utama (4 rintangan dan 4 sokongan).
R4 = Tutup + ((Tinggi - Rendah) x 1.5000)

R3 = Tutup + ((Tinggi - Rendah) x 1.2500)

R2 = Tutup + ((Tinggi - Rendah) x 1.1666)

R1 = Tutup + ((Tinggi - Rendah) x 1.0833)

PP = (Tinggi + Rendah + Tutup) / 3

S1 = Tutup – ((Tinggi - Rendah) x 1.0833)

S2 = Tutup – ((Tinggi - Rendah) x 1.1666)

S3 = Tutup – ((Tinggi - Rendah) x 1.2500)

S4 = Tutup – ((Tinggi - Rendah) x 1.5000)

Fibonacci Pivot Point. Idea utama di sebalik jenis ini adalah penggunaan aras Fibonacci dalam mengira sokongan dan rintangan.
R3 = PP + ((Tinggi – Rendah) x 1.000)

R2 = PP + ((Tinggi – Rendah) x 0.618)

R1 = PP + ((Tinggi – Rendah) x 0.382)

PP = (Tinggi + Rendah + Tutup) / 3

S1 = PP – ((Tinggi – Rendah) x 0.382)

S2 = PP – ((Tinggi – Rendah) x 0.618)

S3 = PP – ((Tinggi – Rendah) x 1.000)

Pilihan tempoh bergantung kepada strategi perdagangan anda.

Aras titik-titik pivot berubah bergantung kepada rangka masa yang anda pilih. Ada Titik Pivot jenis harian, mingguan, bulanan dan tahunan.Biasanya kita menggunakan Pivot harian untuk berdagang dengan M30 dan rangka masa intrahari yang lebih singkat. Ia menggunakan harga tinggi, rendah, dan tutup hari sebelumnya. Angka-angka ini berubah setiap hari.Kita gunakan titik pivot mingguan di carta H1, H4, D1. Untuk mengira aras-aras ini, aras tinggi, rendah dan tutup minggu sebelumnya digunakan. Ambil perhatian bahawa ia tidak berubah sehingga minggu berikutnya bermula.Pada carta mingguan, kami mencadangkan anda menggunakan pivot bulanan. Ia adalah produk dari data bulan sebelumnya.Seandainya anda menganalisa carta bulanan, adalah mungkin untuk gunakan pivot tahunan. Ia menggunakan harga tinggi, rendah dan penutup bagi tahun sebelumnya.

Penggunaan titik pivot.

Para pedagang ada banyak strategi penggunaan titik pivot, mari kita lihat beberapa yang paling sering digunakan.

Titik-titik pivot boleh digunakan sebagai sokongan dan rintangan tradisional. Para pedagang yang sukakan pasaran yang berayun di dalam julat (range-bound) meletakkan pesanan beli berdekatan dengan aras sokongan dan pesanan jual bila pasangan berdekatan dengan rintangan. Lebih banyak suatu pasangan matawang menyentuh aras pivot kemudian mengundur, aras tersebut jadi lebih kuat.

- Jika harga bergerak ke arah aras rintangan, anda boleh meletakkan pesanan tertangguh (pending order) sell limit dan renti rugi sedikit di atas rintangan.

- Jika harga bergerak ke arah aras sokongan, anda boleh meletakkan buy limit dan renti rugi sedikit di bawah sokongan.

Ingat, aras sokongan mampu menjadi rintangan jika harga di bawah mereka dan rintangan pula boleh jadi sokongan jika harga berada di atas mereka.


Pedagang yang memburu Breakout menggunakan pivot untuk mengenal pasti aras-aras kunci yang perlu diterobos untuk menentukan arah harga yang seterusnya.
- Jika anda percaya bahawa anda sedang melihat trend bullish yang kuat, anda boleh menunggu sehingga pasangan itu menembusi rintangan yang pertama. Sebaik sahaja harga menembusinya, anda boleh membuka posisi beli dan meletakkan ambilan untung di aras rintangan berikutnya. Jangan lupa tentang renti rugi. Renti rugi harus dipasang di bawah rintangan yang pertama. Namun anda boleh gerakkan renti rugi anda secara manual jika anda lihat harga terus meningkat.

- Jika anda dapat melihat harga menembusi sokongan, anda boleh mula menjual pasangan tersebut. Ambilan untung akan berada di aras sokongan berikutnya, renti rugi harus diletakkan di atas sokongan yang dibolosi tadi. Anda boleh gerakkan renti rugi ke sini juga jika ada penerusan pada gerakan ke bawah.

Berhati-hati dengan strategi ini kerana sukar untuk mentakrifkan sama ada penembusan itu memang breakout atau cuma fakeout. Pepaku (spikes) adalah kejadian yang biasa sewaktu ada acara berita, jadi pastikan anda mengikuti siaran berita terkini dan sentiasa awas apa yang ada di dalam kalendar ekonomi di hari atau minggu tersebut.

Pivot boleh digunakan untuk mengenal pasti trend keseluruhan pasaran.
- Jika harga menembusi aras Titik Pivot (PP) ke atas, ia petanda ada ramai pembeli di pasaran dan anda harus mula membeli pasangan. Kedudukan harga di bawah aras Titik Pivot (PP) menandakan sentimen bearish dan para penjual mampu menguasai sesi perdagangan.


Satu lagi perkara yang penting diketahui adalah berkenaan dengan waktu pembukaan pasaran. Seperti yang ktia tahu, pasaran Forex berfungsi 24 jam sehari. Ada 4 sesi pasaran: Australia, Jepun, UK dan Amerika Syarikat. Anda boleh menemui waktu anggaran bagi setiap yang tersebut di sini.

Bila salah satu pasaran dibuka, ada kebarangkalian yang tinggi aras-aras pivot diterobos kerana ramai pedagang memasuki pasaran dalam masa yang sama. Sepanjang tempoh bila pasaran AS tutup, dan pasaran Asia buka, harga boleh kekal stabil untuk beberapa jam di antara titik pivot dan sama ada sokongan atau rintangan. Ini memberikan peluang kepada pedagang julat (range-bound traders).

Sebagai kesimpulan, titik pivot adalah berguna untuk pedagang dalam pelbagai cara. Anda boleh menggunakannya secara tunggal atau boleh sahaja menggabungkannya dengan indikator lain. Pilihan yang kedua membolehkan anda mencipta dan berlatih strategi unik anda sendiri.




Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini