Ringgit melantun susulan FTSE Russell kekalkan bon kerajaan Malaysia dalam senarainya - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit melantun susulan FTSE Russell kekalkan bon kerajaan Malaysia dalam senarainya


KUALA LUMPUR: Ringgit kembali melantun untuk dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong minat baharu untuk aktiviti belian selepas penyedia indeks FTSE Russell malam tadi mengekalkan bon Malaysia dalam senarai pemerhatian. Pada 9.03 pagi, nota tempatan berada pada 4.1880/1920 berbanding dolar AS berbanding 4.1930/1980 penutup semalam.

FTSE Russell juga mengekalkan bon kerajaan luar pesisir China dalam senarai pemerhatian bagi kemungkinan dinaikkan taraf, yang akan membolehkan hutang China dimasukkan ke dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

 Ahli strategi pasaran Axicorp Asia Pacific, Stephen Innes, berkata mata wang yuan China akan terjejas oleh langkah FTSE Russel yang meminggirkan bon China daripada WGBI, yang mungkin akan mengekang peniaga daripada mengambil langkah berbeza bagi meredakan keadaan. “Saya fikir ringgit akan terus diniagakan sebagai menebus sentimen terhadap yuan,” katanya dalam nota hari ini.

Secara menyeluruh, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama. Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.5704/5764 daripada 4.5842/5914 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1617/1682 daripada 5.1658/1736 semalam.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0297/0337 daripada 3.0347/0392 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.8850/8894 daripada 3.8958/9011.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini