Ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan hari ini berikutan perjanjian dagangan sementara antara AS dan China ditangguhkan lagi, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1810/1850 ketika ditutup pada Selasa.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, AmBank Research berkata pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengatakan ‘fasa pertama’ perjanjian dagangan AS-China mungkin tidak dapat ditandatangani semasa Sidang Kemuncak APEC 2019 di Chile bulan depan.

Pihak Trump juga berkata tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk merundingkannya.

Bagi prestasi mata wang tempatan berbanding dolar AS, firma penyelidikan itu berkata ia menjangkakan ringgit berada dalam julat lingkungan paras sokongan 4.1705 dan 4.1759 dengan rintangan disandarkan pada 4.1934 dan 4.1988.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0704/0730 daripada 3.0659/0693 ketika ditutup semalam serta rendah berbanding yen kepada 3.8442/8480 daripada 3.8397/8444.

Mata wang tempatan juga lemah berbanding pound British kepada 5.3836/3878 daripada 5.3596/3664 pada Selasa dan rendah berbanding euro kepada 4.6484/6522 daripada 4.6305/6366. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini