Ringgit dibuka tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tidak berubah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada dagangan awal hari ini ketika peniaga terus menunggu perkembangan baharu di Malaysia selepas pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP), semalam.

Pada 9.13 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.1860/1890 berbanding dolar AS daripada paras 4.1860/1890, semalam.

Sementara itu, dalam satu nota penyelidikan, AmBank Research berkata inflasi teras pada September mengatasi jangkaan awal apabila meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun daripada 1.5 peratus pada Ogos.

Malah, ia turut menjangkakan harga bahan api dan pengangkutan yang rendah akan terus memberi kesan terhadap IHP penting itu.

Berdasarkan data inflasi semasa, firma penyelidikan itu berkata wujud ruang memadai untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas daripada 3.0 peratus ketika ini, pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang dijadual pada 5 November ini.

"Ekonomi negara telah mengatasi jiran-jiran di Asia pada separuh pertama tahun ini, manakala prospek ekonomi untuk 2020 pula dijangkakan lebih kukuh iaitu diunjur berkembang pada 4.8 peratus daripada 4.7 peratus pada 2019.

"Berdasarkan prospek itu, kami menjangkakan 60 peratus kemungkinan tiada sebarang perubahan pada kadar dasar semalaman berbanding 40 peratus kemungkinan penurunannya pada mesyuarat MPC berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen yang menyaksikannya meningkat kepada 3.8538/8576 daripada 3.8620/8651.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0743/0770 daripada 3.0707/0734, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4066/4114 daripada 5.3794/3850 dan turun berbanding euro kepada 4.6611/6661 daripada 4.6506/6557, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini