Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini mengakhiri urus niaga pada minggu ini pada paras lebih rendah berbanding dolar AS dalam dagangan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa minggu depan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1845/1875 berbanding dolar US daripada 4.1830/1870 semasa ditutup pada Khamis.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata prestasi ringgit pada minggu ini merupakan minggu keempat berturut-turut ia bergerak dalam jajaran 4.18-4.20.

Di peringkat tempatan, katanya bacaan Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia bagi September pada minggu ini telah menyebabkan ringgit sedikit goyah, berikutan data secara naratif menunjukkan tekanan inflasi domestik kekal terurus.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Rabu berkata CPI meningkat 1.1 peratus pada September 2019 kepada 121.8 daripada 120.5 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, Han Tan berkata adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa mata wang stabil akan melancarkan aktiviti ekonomi seperti perdagangan luar, dan perdagangan dijalankan dalam mata wang ringgit berbanding mata wang global agak stabil sejak 2018.

Beliau berkata mata wang lebih kukuh mungkin tidak begitu baik untuk Malaysia dengan mengambil kira iklim ekonomi global ketika ini.

“Misalnya Thailand, yang pembuat dasarnya kini aktif cuba mengehadkan kekukuhan baht, yang telah dipersalahkan kerana membendung pertumbuhan ekonominya.

“Faktor tambahan akan terus menjadi pemacu ringgit, dengan konflik perdagangan AS-China akan menjadi faktor penentu utama terhadap sentimen risiko global,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat FOMC akan datang, yang akan menentukan pergerakan dolar AS dan seterusnya akan memberi kesan terhadap prestasi ringgit.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0692/0725 daripada 3.0676/0714 dan turun berbanding yen kepada 3.8508/8555 daripada 3.8482/8533.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3716/3768 daripada 5.3890/3945 dan naik berbanding euro kepada 4.6502/6552 daripada 4.6553/6614. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini