Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain disebabkan faktor luaran.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1870/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 semalam.

Ahli Strategi Pasaran AxiTrader Asia Pacific Stephen Innes berkata ketegangan geopolitik menjadi ketara apabila badan minyak sayuran utama India telah meminta ahli-ahlinya berhenti membeli minyak sawit Malaysia dalam persekitaran ketegangan Malaysia-India yang meningkat berhubung konflik Kashmir.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India yang berpangkalan di Mumbai, Atul Chaturvedi menasihatkan ahli-ahli SEA supaya tidak membeli minyak sawit dari Malaysia, mengambil petunjuk daripada bantahan New Delhi terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Kashmir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Innes berkata, yuan turut susut hari ini berikutan ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing yang meningkat.

“Terdapat kebimbangan ekonomi yang meningkat mengenai ekonomi China sekali lagi yang mewujudkan negatif terhadap sentimen yuan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding yen kepada 3.8558/8589 daripada 3.8493/8541 semalam dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0730/0757 daripada 3.0713/0751 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.6660/6702 daripada 4.6678/6731 pada Isnin dan berbanding pound British kepada 5.4138/4198 daripada 5.4269/4333 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini