Ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini apabila harga minyak terus jatuh susulan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya bagi tahun ini ke paras yang paling lemah sejak krisis kewangan sedekad lalu.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1935/1965 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1890/1920 pada Selasa.

Seorang penganalisis berkata, pergerakan ringgit juga dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik global serta peningkatan kebimbangan terhadap pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Meskipun jaminan yang diberikan AS dan China bahawa rundingan perdagangan berjalan lancar, pelabur tetap meragui keputusannya kerana telah berlaku sebelum ini rundingan perdagangan biasanya tidak mencapai sebarang hasil selepas sesuatu mesyuarat dianggap berjaya,” katanya.

IMF, dalam notanya hari ini mengunjurkan pertumbuhan global tahun ini berada pada tiga peratus. Dana itu menjangkakan ketegangan perdagangan AS-China akan mengurangkan secara kumulatif paras keluaran dalam negara kasar global sebanyak 0.8 peratus menjelang 2020.

Pada 6 petang, harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$58.45 setong dan dijangka kekal tidak menentu pada bulan-bulan akan datang.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0560/0585 daripada 3.0559/0585 pada Selasa dan turun berbanding pound British kepada 5.3513/3568 daripada 5.2962/2020.

Ringgit naik sedikit berbanding yen kepada 3.8575/8613 daripada 3.8680/8714 tetapi turun berbanding euro kepada 4.6288/6338 daripada 4.6129/6175 pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini