Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan dolar kembali mengukuh berbanding mata wang utama yang lain selepas menyusut semalam.

Pada 6 petang, mata wang tempatan tidak berubah pada paras 4.1930/1960 semasa ditutup semalam.

Pakar strategi pemasaran Axi Trader Asia-Pacific Stephen Innes berkata ringgit terus diniagakan di tengah-tengah jajaran yang dijangka kekal pada paras 4.19 sepanjang minggu ini.

Selain itu, katanya ketika China menikmati cuti selama seminggu, peniaga mata wang ASEAN kekal tidak memasuki pasaran.

Katanya kekukuhan pasaran ASEAN yang dilihat sebelum ini semakin pudar berikutan indeks pengurus pembelian pembuatan (PMI) Institut Pengurusan Pembekalan (ISM) pada September menunjukkan AS mencatatkan bacaan terendah dalam tempoh sedekad.

Pasaran kini dalam proses menetapkan harga berikutan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menurunkan kadar pada Oktober, kata Innes.

“Walaupun kita mungkin mendapat beberapa isyarat daripada beberapa jurucakap Fed, termasuk Pengerusi Jerome Powell pada Jumaat, pada pandangan saya laporan bayaran gaji bukan ladang pada minggu ini telah mendapat lebih perhatian disebabkan oleh data ISM yang teruk.

"Ia tidak terlalu bergantung pada perspektif dasar Fed tetapi lebih kepada perspektif risiko akan tempiasnya. Jika angka teras menurun dengan ketara daripada jangkaan, pasaran ekuiti akan mengalami aktiviti jualan yang ketara kerana kebimbangan terhadap kemelesetan," katanya.

PMI pembuatan AS merosot 1.3 peratus kepada 47.8 peratus bulan lepas daripada bacaan 49.1 peratus pada Ogos.

Secara menyeluruh, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0248/0274 daripada 3.0242/0272 semasa ditutup semalam dan jatuh berbanding yen kepada 3.8950/8982 daripada 3.8695/8733.

Mata wang tempatan juga menyusut berbanding euro kepada 4.5775/5825 daripada 4.5670/5715, namun naik berbanding pound Britain kepada 5.1335/1388 daripada 5.1507/1560 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini