Ringgit terus kukuh berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus kukuh berbanding dolar



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini iaitu hari ketiga berturut-turut selepas pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bertindak menurunkan kadar faedah bagi kali ketiga tahun ini.

Pada jam 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1775/1795 berbanding dolar AS daripada 4.1785/1815 sewaktu ditutup pada Rabu.

Peniaga itu menyifatkan penurunan sebanyak 25 mata asas oleh Fed itu juga sejajar dengan jangkaan pasaran ketika ekonomi terbesar dunia itu mencari jalan bagi mempertahankan prestasi ekonominya.

Sementara itu, dalam satu nota berasingan hari ini, Maybank berkata dalam persekitaran pertumbuhan global yang lemah, biarpun selepas Fed memaparkan pendirian lebih longgar, pasaran secara puratanya akan menyaksikan dolar AS mendapat sokongan mata wang serantau sehingga suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, tekanan bagi penyusutan dolar AS/ringgit akan ketara apabila dolar berkenaan menjadi lemah pada 2020.

“Secara asasnya, kami berpendapat jangkaan aset-aset berisiko termasuk mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit kekal cerah sekiranya pertumbuhan global menyaksikan rangsangan berterusan di tengah-tengah persekitaran monetari yang lemah.

“Namun ini dengan syarat pasaran dan penggubal dasar dapat mengemudi sebarang risiko perkembangan jangka pendek,” katanya.

Bank itu turut menjangkakan ringgit akan diniagakan pada kadar sekitar 4.15 berbanding dolar AS pada (akhir) 2019.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain hari ini.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0670/0689 daripada 3.0672/0699 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7570/8599 daripada 3.8381/8419 sebelum ini.

Ia bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.4044/4087 daripada 5.3840/3895 dan rendah berbanding euro kepada 4.6629/6668 daripada 4.6431/6473.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini