Ringgit teruskan aliran peningkatan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran peningkatan



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran peningkatan untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas unit negara maju itu terjejas akibat kebimbangan berterusan membabitkan ekonomi AS yang suram.

Pada 6 petang, unit tempatan mengukuh kepada 4.1860/1890 berbanding 4.1930/1960 ketika ditutup semalam.

Pakar Strategi Pemasaran Axi Trader Asia-Pacific, Stephen Innes, berkata walaupun dagangan agak baik hari ini pada 4.18, ringgit kekal pada tahap 4.19 berikutan pelabur sibuk dengan program domestik yang akan datang.

“Cadangan berhubung pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kumpulan pemikir tempatan terbukti mendapat liputan meluas media seperti mana topik membabitkan peralihan kepimpinan membabitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagaimanapun, dengan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini, ia ketika ini dilihat sebagai pemangkin signifikan pada masa akan datang yang dijangka mengekalkan sikap berhati-hati pelabur asing ke atas bon tempatan, ekuiti dan mata wang,” katanya.

Dolar AS menyusut semalaman selepas data menunjukkan pengambilan oleh majikan swasta di AS perlahan pada September, petunjuk terkini bahawa pertikaian perdagangan AS-Sino telah memberi kesan kepada ekonomi terbesar dunia.

“Selain itu, tindakan AS mengenakan cukai terhadap barangan baharu Kesatuan Eropah (EU) menerima lampu hijau daripada keputusan Pertubuhan Perdagangan Sedunia turut menambah kebimbangan dalam kalangan pelabur EU,” kata Innes.

Beliau berkata, ekonomi AS yang perlahan juga, bukanlah sesuatu yang menarik bagi ekonomi berorientasikan eksport di Asia seperti Malaysia.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan paling rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0287/0320 berbanding 3.0248/0274 ketika ditutup semalam dan jatuh berbanding yen kepada 3.9059/9102 berbanding 3.8950/8982.

Unit tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.5820/5870 berbanding 4.5775/5825 dan rendah daripada pound Britain kepada 5.1408/1462 berbanding 5.1335/1388.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini