Yuan dijangka jatuh ke paras krisis 2008 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Yuan dijangka jatuh ke paras krisis 2008


BENGALURU: Mata wang China, yuan dijangka susut ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) seperti sewaktu krisis kewangan global 2008, menjelang akhir tahun ini.

Ia berikutan langkah pihak berkuasa negara itu untuk menurunkan nilai mata wangnya, di samping perang perdagangan AS-China yang masih memuncak, demikian menurut kajian Reuters.

Dengan ketidaktentuan global yang bertambah dan pilihan raya AS yang semakin hampir, sebarang kemungkinan penyelesaian untuk perang perdagangan pada perbincangan minggu depan akan terjejas dengan tanda-tanda yuan yang lemah.

Pasaran China ditutup sehingga 7 Oktober sempena cuti umum.

Untuk mengatasi kerugian daripada perang perdagangan dan mendapatkan semula daya saing eksport, People's Bank of China secara konsisten menetapkan kadar penengah mata wangnya di atas kadar utama tujuh yuan setiap dolar, yang menyebabkannya susut kira-kira dua peratus selepas Washington melabelnya sebagai pemanipulasi mata wang pada Ogos lalu.

Undian yang dilakukan dari 24 September hingga 3 Oktober lalu membabitkan 60 ahli strategi tukaran asing menunjukkan yuan akan melemah satu peratus, menghampiri paras terendah dalam sedekad kepada 7.20 berbanding dolar AS menjelang akhir 2019.

Ia ditutup pada 7.15 pada Isnin lalu.

Mata wang itu dijangkakan untuk bergerak sekitar kadar yang sama pada Mac 2020 dan kemudian menokok kepada 7.16 setiap dolar pada masa ini tahun depan.

“Yuan sedang dipegang dengan kuat. Perang dagang akan menjadi semakin buruk,” kata Ketua Penyelidikan Pasaran Kewangan Asia Pasifik di Rabobank, Michael Every.

“Akan ada tekanan ke atas yuan dan apabila itu berlaku, berita buruk bagi semua mata wang pasaran baru muncul.

“Penganalisis tidak sependapat dengan jangkaan dalam hubungan perdagangan AS-China, dengan lebih dari 60 peratus menjangkakan kemerosotan lanjutan atau status quo diteruskan dan yang lain meramalkan peningkatan.”

Ramalan untuk di mana yuan akan diniagakan dalam setahun turut berbelah bahagi, dengan 31 dari 60 responden mengharapkannya melemah lebih rendah dan 29 responden melihat yuan akan meningkat.

“Saya fikir mungkin terdapat beberapa petunjuk dalam jangka pendek untuk mengatakan bahawa perkara akan menjadi sama atau mungkin nada perdagangan meningkat atau mungkin terdapat perjanjian kecil,” kata Ahli Ekonomi China di Capital Economics, Martin Rasmussen.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini