Ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit pulih daripada penyusutan baru-baru ini untuk dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Mata wang tempatan menjejaki yuan China yang lebih kukuh pagi ini berikutan keyakinan perdagangan AS-China.

Pada 9 pagi, ringgit disebut pada harga 4.1780/1830 berbanding dolar AS daripada 4.1810/1850 penutup Selasa.

Bagaimanapun, Ketua Strategi Pasaran Asia di AxiTrader, Stephen Innes, berkata pelabur akan memantau prestasi Bursa Malaysia untuk melihat jika bursa tempatan dapat menyongsang penurunan.

"Ini kerana aliran keluar pasaran saham terus mengimbangi sentimen ringgit minggu ini," katanya dalam nota hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi merangkap Ketua Penyelidik AmBank Group, Dr Anthony Dass, berkata sekiranya hasil perjanjian perdagangan AS-China menjadi baik, mata wang tempatan yang mengesan yuan China akan mengukuh sejajar yuan.

"Yuan kemungkinan akan kembali ke bawah paras 7.00 berbanding dolar AS dan ringgit juga dijangka bergerak di bawah paras 4.17 berbanding dolar AS," katanya dalam nota berasingan hari ini.

Dalam jangka terdekat, Dass menjangkakan nota tempatan boleh mencapai 4.13-4.15, sekiranya perbincangan dagangan antara AS dan China bertukar ke laluan positif.

"Bagaimanapun, jika rundingan perdagangan berlarutan, ditambah dengan tekanan jualan ke atas ringgit pada penghujung 2019, ringgit kemungkinan akan diperdagangkan antara paras 4.17-4.19 berbanding dolar AS," katanya.

Menyifatkan perjanjian perdagangan AS-China sebagai faktor penting bagi ringgit, Dass berkata perjanjian perdagangan boleh membawa kepada ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS pada 2020.

"Kami sedang melihat ringgit untuk berdagang antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar AS, dengan pengukuhan yuan antara tahap 6.93 dan 6.95, disokong terutamanya oleh perjanjian perdagangan antara AS dan China.

"Sebaliknya, ia boleh meletakkan ringgit sekitar 4.17-4.21 berbanding dolar AS, dengan yuan pada tahap 7.03-7.07 berbanding dolar AS," katanya.

Ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8281/8337 daripada 3.8372/8412 pada Selasa, menokok berbanding euro kepada 4.6025/6097 daripada 4.6050/6098 dan mengukuh berbanding pound kepada 5.3704/3789 daripada 5.3784/3848.

Berbanding dolar Singapura, unit tempatan susut kepada 3.0608/0654 daripada 3.0596/0630.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini