Permintaan lebih baik terhadap ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Permintaan lebih baik terhadap ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini berikutan permintaan yang lebih baik di tengah-tengah pergerakan positif geopolitik apabila undian menunjukkan Parti Konservatif United Kingdom (UK) dijangka memenangi majoriti kukuh dalam pilihan raya umum British, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1580/1610 penutup Khamis.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Europe, Craig Erlam, berkata sekiranya pengundian itu terbukti tepat, ia akan memberi rangsangan besar kepada Perdana Menteri Boris Johnson, memastikan perjanjian Brexit diluluskan di Parlimen dan UK akan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada akhir Januari depan.

Pound sterling, katanya, melonjak apabila pertaruhan Boris untuk menyelesaikan Brexit yang menjadi isu utama kepada rakyat Britain terbukti tepat dan beliau kini mempunyai mandat kukuh untuk menunaikan hasrat rakyat itu.

“Keadaan turun naik yang kita lihat dalam pergerakan sterling dijangka berterusan tetapi pasaran nampaknya berpuas hati dengan perkembangan itu,” katanya kepada BERNAMA.

Ringgit diniagakan kebanyakannya kukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.6226/6287 daripada 4.6262/6308 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.5693/5768 daripada paras penutup 5.4815/4871 pada Khamis.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.7776/7823 daripada 3.8256/8287 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0607/0638 daripada 3.0646/0672 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini