Ringgit dibuka lemah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini, dengan permintaan yang lebih baik terhadap dolar AS di tengah-tengah keadaan ekonomi AS yang lebih baik.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1610/1640 berbanding dolar AS daripada 4.1580/1610 penutup Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Asia di AxiTrader, Stephen Innes, berkata pulangan bon perbendaharaan 10 tahun AS meningkat tiga mata asas kepada 1.84 peratus meskipun bacaan Pemprosesan Data Automatik (ADP) yang lemah pada awal minggu, manakala pembayaran gaji AS pada November jauh lebih tinggi daripada jangkaan, meningkat 266,000 dengan semakan menaik.

"Kenaikan pekerjaan AS melonjak kembali pada November ketika mana kadar pengangguran menyamai paras terendah separuh abad dan upah mengatasi anggaran, memberikan Rizab Persekutuan lebih banyak alasan untuk mengekalkan kadar faedah setelah tiga pemotongan berturut-turut," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, RHB Research dalam notanya berkata, ringgit kekal stabil pada RM4.18 bagi November berbanding bulan sebelumnya.

Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali euro, yang mana ia menokok kepada 4.6000/6037 daripada 4.6137/6179 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0571/0604 daripada 3.0571/0605 pada penutupan Jumaat.

Ia merosot berbanding yen pada 3.8315/8346 daripada 3.8284/8315 dan susut berbanding pound British kepada 5.4684/4740 daripada 5.4570/4613.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini