Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam awal dagangan hari ini, didorong permintaan lebih baik terhadap mata wang tempatan susulan kenaikan harga minyak mentah global dan data pembuatan AS yang lemah.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1720/1750 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1820 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, Institut Pengurusan Bekalan AS mengumumkan pada Isnin bahawa indeks aktiviti perkilangan nasionalnya susut 0.2 mata kepada 48.1 pada November, menjadikan tempoh itu sebagai bulan keempat berturut-turut mencatatkan penurunan aktiviti pembuatan.

Beliau berkata, penurunan yang tidak dijangkakan itu menjejaskan keyakinan bahawa ekonomi AS telah stabil, yang didorong oleh beberapa laporan baru-baru ini.

Sementara itu, kemungkinan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran semasa mesyuarat minggu ini telah meningkatkan harga minyak mentah global, yang seterusnya menambah sentimen pasaran positif kepada Malaysia.

“Peserta pasaran mengatakan harga minyak mentah yang lebih tinggi akan memberi kesan positif ke atas hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Niaga hadapan Brent naik 0.7 peratus kepada AS$60.92 setong, sementara minyak West Texas Intermediate (WTI) AS menambah 1.4 peratus kepada AS$55.96 setong.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0531/0557 daripada 3.0521/0561 ketika ditutup pada Isnin, dan susut berbanding yen kepada 3.8226/8264 daripada 3.8107/8153.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3956/3999 daripada 5.3925/4002 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.6201/6238 daripada 4.6025/6073.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini