Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan perkembangan positif membabitkan persetujuan perdagangan AS-China, kata seorang peniaga.

Ketua Strategis Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata prospek ringgit juga kekal positif susulan faktor risiko yang dilihat kian reda serta jangkaan dolar AS yang lebih lemah pada 2020.

“Saya tidak menjangkakan sebarang keuntungan yang ketara sehinggalah kita dapat menyaksikan pemansuhan sebahagian besar cukai AS yang mampu memberi kesan besar terhadap aliran perdagangan Malaysia.

“Persetujuan perdagangan fasa pertama Washington-Beijing itu sepatutnya memberi manfaat kepada ringgit dari segi peningkatan dagangan dan aliran ekuiti apabila pemilik perniagaan mula kembali melaburkan modal selepas yakin bahawa tidak lagi wujud sebarang kekangan cukai,” katanya kepada Bernama.

Namun, menurut Innes, ringgit terus kekal dinilai lebih rendah berbanding mata wang negara serantau berikutan kaitannya dengan yuan China.

“Selagi yuan belum mengukuh, ringgit akan terus menerima kesannya,” katanya sambil menambah ringgit dijangka didagangkan di antara 4.12 dan 4.15 berbanding dolar AS minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan pada paras terendahnya 4.1410/1440 berbanding dolar US namun mencecah paras paling kukuh minggu ini iaitu 4.1260/1290 pada Jumaat.

Ia juga ditutup pada paras lebih tinggi berbanding 4.1380/1420 yang dicatat pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, pasaran tempatan juga terbukti mendapat tempias daripada faktor luaran, terutamanya perkembangan membabitkan perjanjian perdagangan Washington-Beijing.

Selain itu, bagi asas Jumaat-Jumaat, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0491/0524 daripada 3.0518/0559 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7680/7718 daripada 3.7842/7889.

Unit tempatan itu turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3927/3970 daripada 5.3955/3024 dan naik berbanding euro kepada 4.5951/6001 daripada 4.6010/6067 sebelum ini.

Pasaran telah ditutup pada Rabu minggu ini bersempena cuti umum Krismas dan akan ditutup pada Rabu minggu depan berikutan cuti umum Tahun Baru.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini