Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan unit negara maju itu merosot susulan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah.

Pada 6 petang, unit tempatan disebut harga pada 4.1580/1610 berbanding dolar aS daripada 4.1630/1660 pada penutupan semalam.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik Stephen Innes berkata langkah Fed telah mengheret turun dolar AS yang menyebabkan ia menyusut sehingga ke tahap paling rendah berbanding mata wang utama sejak 9 Ogos dengan Indeks Dolar susut 0.33 peratus.

Sementara itu, beliau berkata pelabur kekal berhati-hati menjelang pusingan tarif Amerika Syarikat (AS) yang seterusnya ke atas barangan dari China.

Presiden AS Donald Trump menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh untuk mengenakan tarif ke atas barangan pengguna dari China yang bernilai hampir AS$160 bilion.

“Trump dijangka menemui penasihat perdagangan dan ekonomi utamanya lewat hari ini untuk membuat rundingan. Namun, pada akhirnya keputusan terletak di tangan beliau sendiri,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu tinggi sedikit berbanding yen kepada 3.8256/8287 daripada 3.8298/8333, namun, susut daripada dolar Singapura kepada 3.0646/0672 daripada 3.0613/0639 pada Rabu.

Ia turut merosot berbanding euro kepada 4.6262/6308 daripada 4.6139/6180 dan berkurangan daripada pound Britain kepada 5.4815/4871 daripada 5.4689/4745.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini